29 May
29May

1. Terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan untuk menghasilkan karangan yang baik.

  •  Baca soalan dengan jelas sebelum merangka karangan.
  • Pilih tajuk yang kita mempunyai paling banyak maklumat atau yang kita pernah buat persediaan.


2. Ketika merangka karangan, kita perlulah memilih fakta dan isi yang terbaik.

  • Keluarkan pengalaman dan pembacaan yang lalu.
  • Ada pendahuluan, isi dan penutup.


3. Berikut merupakan perkara yang perlu ada dalam sesebuah karangan bagi perenggan pendahuluan, isi dan penutup. Sekiranya pelajar menggunakan kesemua idea yang ada dalam setiap badan perenggan, maka mereka akan dapat menghasilkan karangan yang terbaik di samping dapat mengasah kemahiran menulis mereka.


  • PERENGGAN PENDAHULUAN
AYAT DALAM PERENGGAN PENDAHULUAN

 

Ayat 1 : Menyatakan tema atau tajuk soalan secara menyeluruh

Ayat 2 : Isu semasa yang relevan dengan tema atau tajuk soalan.

Ayat 3 : Huraian tentang isu semasa.

Ayat 4 : Pandangan umum tentang tema atau tajuk soalan.

Ayat 5 : Menyatakan kehendak soalan (punca-punca/langkah-langkah/kesan-kesan)

 


  • PERENGGAN ISI
AYAT DALAM PERENGGAN ISI

 

Ayat 1 : Menyatakan isi pokok atau persoalan yang akan dihuraikan.

Ayat 2 : Huraian tentang isi pokok yang dikemukakan.

Ayat 3 : Huraian/pengolahan keterangan tentang isi pokok yang dikemukakan.

Ayat 4 : Bukti atau apa-apa contoh yang relevan dengan isu yang dibincangkan dengan isu yang dibincangkan dalam isi pokok.

Ayat 5 : Rumusan ringkas tentang idea yang dikemukakan dalam isi yang dihuraika
n.


  • PERENGGAN PENUTUP
AYAT DALAM PERENGGAN PENUTUP

 

Ayat 1 : Rumusan atau kesimpulan menyeluruh tentang perbincangan isi.

Ayat 2 : Menyatakan cadangan atau saranan yang sesuai.

Ayat 3 : Menyatakan harapan tentang isu yang dibincangkan.

Ayat 4 : Menyatakan pendirian tentang pokok persoalan yang dikemukakan.


4. Terdapat beberapa perkara yang perlu dititikberatkn oleh para pelajar ketika mula-mula mendapat soalan. Pelajar perlu menganalisis kehendak soalan yang diminta sama ada karangan yang  berbentuk fakta atau berbentuk cerita.  Setelah menganalisis kehendak soalan, maka pelajar dapat merangka perkara-perkara yang perlu ada dalam sesebuah karangan tersebut.

i.   Karangan berbentuk fakta 

  • Cari contoh yang terbaik berkaitan dengan fakta yang diberikan.
  • Contoh global atau universal lebih diutamakan.
  • Gunakan peribahasa, pantun atau kata-kata hikmah orang ternama untuk membuat karangan lebih menarik.
  • Beri huraian yang lengkap dan padat.
  • Tidak berulang-ulang dalam mengemukakan isi.
  • Perbahasan dan hujah hendaklah matang.
  • Isi terkini.


ii.   Karangan berbentuk  cerita 

  • Jalan cerita hendaklah menarik.
  • Ada watak yang menarik.
  • Ada perkembangan watak.
  • Ada klimaks.
  • Tidak membosankan.
  • Bayangkan diri anda trelibat sama dalam situasi cerita tersebut.
  • Ada pengajaran yang bermanfaat dari cerita tersebut.
  • Berhati-hati dengan tanda bacaan.


5.  ASPEK BAHASA DALAM KARANGAN

i.  Penggunaan kosa kata yang sesuai

Bagi pelajar yang ingin menghasilkan sebuah karangan yang baik, mereka perlu menggunakan kosa kata yang bersesuaian. Bagi pelajar yang suka membaca, sudah pasti perbendaharaan kata mereka lebih luas dan hal ini secara tidak langsung dapat membantu mereka untuk menghasilkan karangan yang lebih baik berbanding pelajar yang kurang membaca.


ii.  Penggunaan tatabahasa yang betul

Penggunaan tatabahasa yang betul sewaktu menghasilkan karangan dapat menarik minat pembaca untuk pembaca karangan tersebut bermula dari awal sehingga akhir pembacaan.  Penggunaan bidalan, peribahasa, simpulan bahasa dan gaya bahasa yang lain dapat memberi nilai tambah kepda karangan tersebut. Selain itu, pelajar juga perlu menggunakan ayat yang ringkas iaitu ayat yang tidak terlalu meleret, tepat dan padat.


iii.  Penggunaan penada wacana yang sesuai

Penanda wacana ialah perkataan atau rangkaian perkataan yang berfungsi untuk menghubungkan sesuatu idea, hujah dan pandangan seseorang semasa menulis. Penanda wacana sangat penting terutama ketika menghasilkan karangan kerana penanda wacana dapat mewujudkan pertautan serta kesinambungan antara sebahagian teks dengan yang lain sehingga terbentuk kesatuan. Penggunaan wacana dalam penulisan terutamanya Bahasa Melayu merupakan sesuatu yang sangat penting bagi melahirkan sesebuah hasil yang berkualiti. Setiap pelajar perlu tahu akan fungsi dan seterusnya mahir menggunakan wacana ini pada tempat yang sepatutnya. Kegagalan seseorang pelajar menguasai wacana akan menyebabkan mereka gagal dalam menghasilkan sesebuah penulisan yang kritis dan puitis.


6.  KAEDAH UMUM MENGUASAI BAHASA MELAYU

  • Mendalami tatabahasa.
  • Guna ayat yang pendek, ringkas dan jelas.
  • Mengetahui cara membuat ayat yang menarik.
  • Menambah pengetahuan dengan banyak melalui keratan akhbar dan membaca.
  • Mengumpul semua rencana yang berfaedah dan berkaitan.
  • Tiru rencana yang baik dengan menulis semula menggunakan stail dan bahasa sendiri.
  • Libatkan diri di dalam aktiviti forum, bahas dan pidato.
  • Menawarkan diri untuk menjadi pengerusi majlis dalam setiap program sama ada majlis yang kecil atau majlis yang besar.
Comments
* The email will not be published on the website.
I BUILT MY SITE FOR FREE USING